News

Malaysia mahu dikenali hab pengeluaran vaksin halal global

Industri halal mempunyai potensi besar dengan mengambil kira pelbagai inovasi dan kemajuan dalam bidang pendigitalan dan teknologi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali.

Katanya, penggunaan teknologi seperti Blockchain telah memberikan alternatif yang efektif kepada pengusaha industri dalam menjejaki dan menjamin kebolehkesanan sumber (terutamanya dalam sektor F&B).

Katanya, ia antara komponen penting dalam pengeluaran rantaian bekalan produk halal.

“Ini juga telah membuka ruang dan peluang untuk pemain industri dalam mengarusperdanakan adaptasi teknologi dalam sektor penjagaan kesihatan terutamanya farmaseutikal halal.

“Saya berbangga kerana standard farmaseutikal halal Malaysia ketika ini telah mendapat pengiktirafan dunia.

“Namun ia perlu diperhebatkan lagi terutamanya kini, di mana penjagaan kesihatan menjadi satu keperluan kepada semua masyarakat dunia,” katanya hari ini.

Mohamed Azmin berkata, menjadi hasrat Malaysia untuk dikenali sebagai hab pengeluaran vaksin halal global.

Justeru, beliau meminta semua pemain industri untuk mengembangkan lagi industri halal dan lakukan segera perubahan diperlukan, sekali gus menghasilkan tawaran lebih kreatif dalam strategi pembangunan produk dan pasaran dengan menggabungkan teknologi.

“Tahniah kepada Halal Development Corporation (HDC) atas inisiatif menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2021 ini.

“Majlis pengiktirafan seperti ini semestinya akan meningkatkan lagi kesungguhan dan keghairahan pemain-pemain industri tempatan dalam memartabatkan industri halal negara di persada dunia,” katanya.

Malaysiapost