News

Senegal, pintu masuk strategik ke industri halal di Afrika Barat – HDC

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Negara-negara Afrika, terutamanya Senegal, menawarkan peluang perniagaan yang besar kepada pengeksport dari pelbagai sektor berikutan benua itu sedang berusaha untuk memenuhi keperluan ekonomi sedang pesat membangun yang meningkat.

Oleh itu, ini adalah masa yang tepat bagi syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran Afrika, kata Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Bhd (HDC)Hairol Ariffein Sahari.

Beliau berkata sektor seperti makanan dan minuman, automotif dan komponen, mesin pemprosesan makanan dan pertanian serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi akan mendapat manfaat daripada peluang yang ada.

“Saya ingin menegaskan kesediaan HDC untuk bekerjasama dengan wilayah Afrika Barat, terutamanya Senegal, dalam meningkatkan sara diri untuk makanan halal, selain farmaseutikal halal, peranti perubatan halal dan malah, bahan-bahan halal.

“Matlamat kami ialah meningkatkan eksport halal dan pelaburan Malaysia ke taman-taman halal,” katanya.

Beliau turut menggesa syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di wilayah Afrika Barat untuk mempertimbangkan bekerjasama membina komuniti halal yang lebih kukuh yang dapat menjangkau dan membekalkan kepada penduduk Islam di wilayah lain.

Beliau berkata demikian pada Forum Kewangan Islam Antarabangsa Dakar Ke-6, bertemakan “West Africa-Malaysia: Building the Bridge of Islamic Economy”.

Anjuran African Institute of Islamic Finance (AIIF) bersama HDC, forum itu diadakan dengan sokongan daripada Kerajaan Senegal dan Bank Pembangunan Islam (IsDB) sebagai rakan strategik mereka.

Hairol Ariffein berkata Senegal merupakan antara negara di Afrika yang paling stabil dari segi politik dan antara ekonomi paling pesat berkembang di Afrika Barat.

Pada Ogos 2020, HDC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AIIF untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan rundingan dan khidmat nasihat bagi menyokong pembentukan ekosistem halal di rantau Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), yang termasuk perkongsian pengetahuan, aktiviti promosi dan kesedaran, penyelidikan bersama dan latihan halal.

Kerjasama pintar itu akan membantu kerajaan Senegal memenuhi agenda halalnya dalam membangun dan melaksanakan ekosistem industri halal bersepadu dan mampan, kata Hairol Ariffein.

“Saya ingin memberi jaminan kepada kerajaan Senegal bahawa HDC amat komited untuk menjadikan Senegal sebagai pintu masuk ke wilayah Afrika Barat dengan mendapat penerimaan antarabangsa sebagai pusat rujukan industri halal yang penting dan pada masa sama menggalakkan kerjasama strategik dan pakatan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam pertumbuhan industri halal global dari segi aktiviti ekonomi dan kesedaran sosial.

Malaysia juga menjadi pusat rujukan untuk amalan terbaik dalam pembangunan standard halal dan proses perniagaan, selain menggalakkan pertumbuhan dan penyertaan perniagaan tempatan dalam pasaran halal dunia, katanya.

“Usaha berterusan kami untuk menerajui dan memacu pembangunan kewangan Islam, terutamanya Ekonomi Digital Islam serta usaha bagi menghimpunkan pemain industri dan penasihat Syariah untuk terlibat secara proaktif dan menyumbang ke arah pembangunan Ekonomi Digital Islam Malaysia, telah mendapat pengiktirafan.

“Sebagai sebuah negara Islam dengan industri halal yang maju, Malaysia sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan bagi mengembangkan lagi sektor halal global, terutamanya dalam bidang kewangan Islam, logistik dan perkhidmatan,” katanya.

Hairol Ariffein berkata kumpulan tenaga kerja Malaysia terdiri daripada golongan muda, berpendidikan dan produktif dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri berasaskan sains dan perkhidmatan seperti industri halal.

Melangkah ke hadapan, katanya negara merancang untuk mengukuhkan lagi infrastruktur bagi meningkatkan sumbangan industri halal kepada ekonomi Malaysia, yang kini menyumbang kira-kira 7.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan lebih 350,000 pekerjaan baharu untuk rakyat

Sumber : BERNAMA