News

Bank Islam, HDC sedia RM100 juta melalui Dana GO Halal, tingkat ekosistem industri halal

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Bank Islam Malaysia Bhd dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) hari ini melancarkan Program Pembiayaan PKS GO Halal dengan permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembangunan ekosistem dan perkembangan industri halal negara.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kemudahan yang juga dikenali sebagai Dana GO Halal ini akan membantu PKS dalam format lebih teratur dan berstruktur dengan menumpukan kepada peningkatan kapasiti.

“Melalui pengenalan dana ini, kira-kira 300 PKS tempatan akan mendapat manfaat, dengan tumpuan khusus untuk mendorong lebih banyak penyertaan PKS yang dimiliki Bumiputera dalam industri halal,” katanya dalam ucaptama sempena majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan HDC yang diadakan secara maya hari ini.

Mohamed Azmin juga berkata program dana ini tepat pada masanya bagi membantu PKS mengukuhkan perniagaan mereka walaupun menghadapi kesukaran berikutan pandemik COVID-19.

Beliau turut menggesa institusi kewangan Islam yang lain supaya bekerjasama dengan HDC dalam menawarkan program seumpama ini. Sehingga Disember 2020, sebanyak 6,727 syarikat PKS daripada 200,000 syarikat yang terlibat secara langsung dengan industri halal telah mempunyai sijil halal.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,507 syarikat PKS terlibat dalam aktiviti eksport. Ini menunjukkan potensi pertumbuhan untuk industri halal negara kita masih amat luas,” katanya.

Pada 2020, katanya, jumlah eksport halal negara mencecah RM31 bilion melangkaui sasaran RM19 bilion yang telah ditetapkan dalam Pelan Induk Industri Halal yang pertama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Islam Mohd Muazzam Mohammed berkata dana ini juga bertujuan untuk menyediakan program latihan dan khidmat nasihat halal anjuran HDC selain bantuan kewangan.

Katanya dana ini turut membiayai proses pensijilan halal, kos sumbangan Takaful dan memenuhi keperluan modal kerja serta perbelanjaan modal perniagaan.

Ia menyediakan jumlah pembiayaan bernilai RM100,000 sehingga RM1 juta bagi perniagaan pemilik persendirian dan perkongsian manakala RM100,000 sehingga RM3 juta bagi perniagaan Sdn Bhd dengan tempoh pembayaran semula selama tujuh tahun.

“Penambahbaikan akan dibuat secara berperingkat dari semasa ke semasa bagi mengukuhkan lagi penawaran di bawah program ini. Insya-Allah,” katanya.

Mohd Muazzam juga berkata menerusi program pembiayaan ini, tiada cagaran yang diperlukan untuk memohon, namun, usahawan yang berminat mestilah merupakan ahli HDC dengan perniagaan aktif dalam tempoh minimum dua tahun serta mencatatkan keuntungan sekurang-kurangnya setahun dari dua tahun terakhir.

Sementara itu, CEO HDC Hairol Ariffin Sahari berkata kerjasama dengan Bank Islam juga adalah melalui platform digital, iaitu integrasi antara Halal Integrated Platform (HIP) HDC dan platform SMEXpert Bank Islam.

“Antara kriteria utama untuk mendapatkan Dana GO Halal, PKS hendaklah terlebih dahulu mendaftar sebagai ahli kepada HIP dan memberi komitmen untuk melengkapkan modul-modul program yang direncanakan oleh HDC.

“Setakat ini, terdapat hampir 2,200 syarikat yang telah mendaftar dalam platform HIP ini. Mereka sudah boleh dipertimbangkan untuk memohon dana ini,” kata Hairol Ariffin.

Ahli-ahli HIP boleh memohon Dana GO Halal mulai 1 Julai 2021 dengan mendaftar di HIP Microsite di https://hip.hdcglobal.com.

BERNAMA