Halal Industry, News

HDC akan memperkasa pendigitalan bagi meningkatkan kebolehpasaran

KUALA LUMPUR, 4 Jan  — Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan memfokuskan kepada pendigitalan industri halal bagi meningkatkan kebolehpasaran produk-produk halal tempatan dan pengukuhan integriti halal.

HDC dalam kenyataan hari ini berkata, selain itu ia juga akan mewujudkan lebih ramai tenaga mahir halal dalam industri-industri yang digalakkan terutamanya industri makanan dan bukan makanan seperti kosmetik dan farmaseutikal.

“Ini termasuk pengunaan beberapa teknologi untuk meningkatkan keupayaan pengesanan halal dan penghasilan bahan-bahan ramuan alternatif bagi menggantikan bahan-bahan ramuan yang tidak halal atau diragui,” katanya.

 

Sebagai penyelaras pembangunan ekosistem halal, HDC berkata ia akan berusaha untuk memudahcara penyertaan peserta industri dalam ekonomi halal serta meningkatkan eksport dan pelaburan dalam kawasan industri halal.

 

“Untuk tahun ini, HDC akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terutamanya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia, SIRIM dan MIDF untuk memperkasa ekosistem halal Malaysia.

“Dalam bidang pemerkasaan sistem pensijilan dan penguatkuasaan halal pula, HDC bersedia berkongsi kepakaran dan memikul tanggungjawab bersama dengan agensi-agensi berwajib demi mewujudkan satu sistem yang diyakini pengguna global,” katanya.

 

HDC berkata antara kejayaannya pada 2020 selaku tahun yang mencabar ialah lebih 600 syarikat telah atau sedang melengkapkan pelbagai program pembangunan rantaian bekalan produk halal anjurannya secara usahasama dengan syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan.

“Lebih 300 daripada syarikat itu kini sedang dalam proses saringan akhir untuk menjadi pembekal berkualiti di pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.

Selain itu, katanya, hampir 1,000 individu telah melengkapkan latihan sebagai eksekutif dan auditor halal melalui program latihan anjuran Institut Latihan Halal HDC.

“Mereka ini merupakan individu dengan kompetensi tinggi untuk memastikan integriti halal terpelihara di sepanjang rantaian bekalan dan kini bersedia untuk ditempatkan di kilang-kilang atau premis-premis halal tempatan dan selebihnya akan mengikuti program elektif sebelum dihantar ke luar negara untuk meneroka potensi pekerjaan profesional di peringkat global,” katanya.

 

Bagi kawasan-kawasan industri halal berstatus HALMAS pula, HDC berkata ia telah berjaya menarik pertambahan pelaburan berpotensi sejumlah hampir RM400 juta, menjadikan pelaburan terkumpul setakat ini kepada lebih RM15 bilion sejak 2010.

“HDC juga akan meneruskan usahasama antara negara-negara berpotensi besar terutamanya Jepun, Korea, Taiwan dan China untuk meneroka pasaran-pasaran baharu bagi produk-poduk keluaran IKS yang menyertai program anjuran HDC,” katanya.

Source : Bernama