News, World Halal Conference

Malaysia perkenal sijil halal vaksin tahun depan

KUALA LUMPUR: Halal Development Corp (HDC) bersedia memperkenalkan standard pensijilan halal bagi produk biologi termasuk vaksin, seawal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata vaksin halal mampu memberi nilai tambah kepada industri halal Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara di peringkat global.

Katanya, Malaysia juga bakal menjadi negara pertama di dunia merangka standard pembangunan halal bagi segmen biologi yang boleh digunapakai syarikat pengeluar vaksin global.

Bagaimanapun tegasnya, satu standard halal untuk segmen biologi perlu dirangka terlebih dulu bagi merealisasikan pembangunan vaksin halal.

“Ketika ini, standard halal untuk segmen farmaseutikal sudah dirangka tetapi bagi segmen biologi masih belum dirangka. Jika rangka kerja ini siap, Malaysia akan menjadi antara negara yang bakal mendapat manfaat besar.

“Lantaran itu, HDC bersama dengan Jabatan Standard Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang membangunkan rangka kerja standard halal untuk segmen produk biologi.

“Proses pembangunan standard itu sudah 70 peratus siap dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku pertama 2021. Apabila standard ini sudah dirangka, selepas itu barulah kita akan sediakan skim pensijilan serta logo yang membolehkan pihak industri memohon penggunaan sijil halal dalam vaksin terutama vaksin COVID-19,” katanya pada Persidangan Halal Sedunia 2020 (WHC2020) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hairol Ariffein berkata HDC juga giat bekerjasama dengan syarikat penyelidikan dan pembangunan vaksin bagi merangka vaksin halal.

Beliau berkata, HDC juga memainkan peranan sebagai entiti penghubung bagi penyelidikan dan pembangunan dengan pihak industri dalam pengkomersialan produk.

Sementara itu, Pengerusi HDC, Datuk Mahmud Abbas berkata eksport produk dan perkhidmatan halal negara berhadapan kesukaran mencapai sasaran pada tahun ini disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, cabaran muncul berikutan kemerosotan nilai keseluruhan eksport negara, yang mana industri halal menjadi sebahagian daripadanya.

Bagaimanapun, katanya semua pihak perlu memainkan peranan untuk mewujudkan kembali peluang baharu pasca COVID-19 dan kembali meningkatkan nilai eksport halal tahun depan.

“Pandemik akan menjejaskan eksport pada tahun ini. Nilai eksport ini akan sedikit sukar walaupun sasaran kami adalah sama nilainya pada 2018 atau 2019.

“Namun, kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan kerana Malaysia sebagai peneraju industri halal global mempunyai potensi yang sangat besar,” katanya.

Eksport halal Malaysia bernilai RM40.2 bilion tahun lalu, meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya yang bernilai RM40 bilion.

Sumber: Berita Harian