News

HDC guna diaspora sebar luas kepakaran halal

KUALA LUMPUR — Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjadikan kerjasama dengan diaspora Malaysia termasuk para pelajar di luar negara, sebagai satu strategi untuk menyebar luaskan kepakaran Malaysia dalam industri halal.

“Kita mempunyai ramai pelajar di Jepun yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda negara itu, untuk dilatih menjadi eksekutif dan juruaudit halal,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffien Sahari kepada BebasNews di sini.

Hairol menjelaskan perbadanan itu sudahpun mengeksport kepakaran ke luar negara tetapi usahanya terhad apabila tiada lagi perjalanan dapat dilakukan akibat penularan Covid-19 dan kerjasama dengan dispora diharap dapat mengatasi masalah itu.

Beliau menjelaskan: “Banyak program kita buat di HDC selain melatih eksekutif dan juruaudit halal, kita juga mempunyai program persediaan antarabangsa.

“Di bawah program ini, sekiranya ada keperluan di Jepun dan Korea, kita melatih mereka menguasai bahasa ibunda dan memahami budaya negara-negara berkenaan,” kata beliau yang merancang membuka pejabat di Korea, Jepun Taiwan dan China dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Hairol, langkah mengeksport kepakaran halal dibuat apabila negara-negara bukan Islam lain yang menerima masuk banyak pengunjung atau pelancong muslim juga mahu mengembangkan industri halal.

“Kebanyakan negara ini tidak mempunyai majoriti penduduk Islam, pakar berkaitan industri halal wajiblah orang Islam dan saya mempunyai untuk misi bahawa pakar berkenaan mestilah datang dari Malaysia.

“HDC kini berperanan melatih individu layak di Malaysia termasuk lepasan universiti, golongan pekerja atau penganggur menjadi pakar dipanggil eksekutif dan auditor halal untuk berkhidmat di peringkat global selain bekerja di luar negara sebagai expartriat,

“Ini selari dengan hasrat negara untuk meningkatkan pekerjaan berkualiti dalam kalangan rakyatnya,” jelas beliau.

Mengulas tahap kesedaran terhadap pengiktirafan halal dalam negara, Hairol berkata jika mengikut perangkaan, sesiapa pun boleh mengandainya apabila bilangan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) dalam industri halal berjumlah 200,000 sedangkan mereka yang memiliki pensijilan halal hanyalah 8,000.

Bagaimanapun, tambah beliau lagi, jika semua syarikat tersebut memiliki pengiktirafan halal, sebuah komuniti besar dapat dibentuk untuk dihubungkan dengan komuniti luar dalam mewujudkan peluang perniagaan, pelaburan, perdagangan dan juga perkongsian teknologi.

“Kami tidak akan melonggarkan standard atau piawaian untuk syarikat mendapatkannya tetapi HDC akan membantu mereka meningkatkan lagi keupayaan sehingga diiktiraf dan mengembangkan operasi untuk pergi lebih jauh lagi.

“Sebelum mendapat persijilan halal, syarikat mungkin hanya memasarkan di dua buah negara tetapi selepas menyertai beberapa program HDC dan juga rakan niaga kami, bilangan negara yang dipasarkan meningkat kepada 10 buah negara,” kata beliau.

Hairol mengakui bahawa terdapat pemahaman yang tidak tepat dalam kalangan IKS apabila usaha mendapat pensijilan halal didakwa sukar.

Katanya, memiliki sijil halal semata-mata tidak mencukupi untuk mengembangkan operasi ke tahap lebih tinggi kerana perkara-perkara lain perlu diambil kira seperti penjenamaan, pembungkusan yang menarik dan harga yang berpatutan.

“Halal sebenarnya memberi nilai tambah kepada operasi dan juga perniagaan mereka… itulah nilai halal.

“Kita tidak ketandusan insentif dan juga program untuk membangunkan IKS, malah berbilion ringgit dibelanjakan untuk membangunkan mereka yang tidak mempunyai hala tuju,” kata Hairol.

Beliau menambah HDC merupakan pusat sehenti kepada semua syarikat sama ada telah memiliki persijilan halal atau syarikat sebaliknya yang menceburi kegiatan halal.

“Syarikat IKS yang tiada sijil halal diigalakkan memasuki dahulu program yang disediakan, HDC akan membantu. Ini adalah sebahagian strategi yang sejajar dengan dasar wawasan kemakmuran bersama, tidak ada pihak yang dibiarkan ketinggalan,” kata beliau lagi.

– BebasNews